Biografi Imam Bukhari

Bukhara, Uzbekistan
Imam Bukhari R.A. lahir di Bukhara, Uzbekistan, pada hari Jumaat, 13hb Syawal 194H. Nama penuhnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Badrdizbah Al-Ju’fiy Al Bukhari, namun beliau lebih dikenal dengan nama Bukhari. Beliau menjadi anak yatim ketika masih kecil dan beliau juga hilang penglihatan ketika masih kecil. Ibunya senantiasa berusaha dan berdo’a untuk kesembuhan beliau. Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat Allah, Bukhari boleh melihat semula menjelang usia 10 tahun.

Imam Bukhari adalah ahli hadis yang termasyhur di antara para ahli hadis sejak dulu hingga sekarang bersama dengan Imam Ahmad, Imam Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah. Malah dalam kitab-kitab fiqh dan hadis, hadis-hadis riwayat Imam Bukhari memiliki darjat yang tinggi. Semua hadis-hadis riwayat Imam Bukhari dikategorikan sebagai sahih.

Tempat Imam Bukhari lahir, Bukhara, memang sudah menjadi pusat kebudayaan dan perkembangan ilmu pengetahuan Islam sesudah Madinah, Damaskus dan Baghdad. Daerah itu juga telah melahirkan ahli-ahli filosofi yang terkenal seperti al-Farabi dan Ibnu Sina, dan ulama-ulama besar seperti Zamachsari, al-Durdjani, al-Bairuni dan lain-lain.

Keluarga dan Guru-guru Imam Bukhari


Bukhari dididik dalam keluarga ulama yang taat beragama. Dalam kitab As-Siqat, Ibnu Hibban menulis bahwa ayah Imam Bukhari adalah seorang yang wara’ dan amat berhati-hati dalam hal-hal hukum agama, terutamanya yang berhubung-kait dengan perkara-perkara yang syubhat (ragu-ragu). Ayahnya adalah seorang ulama bermadzhab Maliki. Ayahnya wafat ketika Bukhari masih kecil.

Minat Bukhari yang mendalam terhadap ilmu hadis sudah timbul sejak usia beliau 10 tahun lagi. Ketika berusia 16 tahun, beliau sudah hafal beberapa buah buku seperti “al-Mubarak” dan “al-Waki”. Bukhari berguru kepada Syekh Ad-Dakhili, seorang ulama hadis yang masyhur di Bukhara. 

Pada usia 16 tahun, Bukhari mengikuti keluarganya mengunjungi kota suci Mekah dan Madinah. Di sana beliau mengikuti dengan tekun kuliah guru-guru besar ahli hadis. Pada usia 18 tahun beliau telah menghasilkan kitab pertamanya “Qudhaya as Sahabah wat Tabi’in” (Peristiwa-peristiwa Hukum di Zaman Sahabat dan Tabi’in).

Bersama gurunya Syekh Ishaq, beliau menghimpun hadis-hadis sahih dalam satu kitab, di mana dari satu juta hadis yang diriwayatkan oleh 80,000 perawi telah disimpul atau diringkaskan menjadi 7,275 hadis. Di antara guru-guru tempat beliau memperolehi hadis ialah Ali bin Al Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in, Muhammad bin Yusuf Al Faryabi, Maki bin Ibrahim Al Bakhi, Muhammad bin Yusuf al Baykandi dan Ibnu Rahwahih. 

Bukhari diakui memiliki daya ingatan yang kuat. Beliau biasanya hanya menghafal hadis-hadis yang didengarnya tanpa membuat catatan. Beliau boleh hafal semua hadis-hadis yang didengarnya hanya dengan sekali dengar.

Pernah ketika beliau berada di Baghdad, Bukhari didatangi oleh 10 orang ahli hadis yang hendak menguji ketinggian ilmunya. Dalam pertemuan itu, 10 ulama tersebut mengajukan 100 buah hadis yang sengaja “diputar-balikkan” untuk menguji hafalan Bukhari. Ternyata keupayaan Bukhari menghafal hadis-hadis telah mengkagumkan ulama-ulama tersebut. Bukhari menyebut semua hadis-hadis tadi dengan tepat dan membetulkan mana-mana yang salah. Begitulah kehebatan Imam Bukhari.

Karya-karya Imam Bukhari


Karyanya yang pertama bertajuk “Qudhaya as Sahabah wat Tabi’in” (Peristiwa-peristiwa Hukum di Zaman Sahabat dan Tabi’in) yang dihasilkannya ketika masih berusia 18 tahun. Ketika berusia 22 tahun, Imam Bukhari menghasilkan kitab “At-Tarikh” (sejarah) yang terkenal itu ketika beliau menunaikan ibadah haji di Tanah Suci bersama-sama dengan ibu dan kakaknya. Beliau pernah berkata, “Saya menulis buku “At-Tarikh” di atas makam Nabi Muhammad SAW di waktu malam bulan purnama”.

Sahih Al Bukhari
Karya Imam Bukhari yang lain antaranya ialah kitab Al-Jami’ as Sahih, Al-Adab al Mufrad, At Tarikh as Shaghir, At Tarikh Al Awsat, At Tarikh al Kabir, At Tafsir Al Kabir, Al Musnad al Kabir, Kitab al ‘Ilal, Raf’ul Yadain fis Salah, Birrul Walidain, Kitab Ad Du’afa, Asami As Sahabah dan Al Hibah. Di antara semua karyanya, yang paling terkenal sehingga sekarang ialah kitab Al-Jami’ as-Sahih yang lebih dikenali sebagai Sahih Bukhari.

Dalam sebuah riwayat diceritakan, Imam Bukhari berkata: “Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW, seolah-olah aku berdiri di hadapannya, sambil memegang kipas yang aku gunakan untuk mengipas baginda. Kemudian aku tanyakan mimpi itu kepada sebahagian ahli taksir mimpi, mereka menjelaskan bahwa aku akan menghapuskan semua pembohongan terhadap hadis-hadis Rasulullah SAW. Mimpi inilah antara lainnya yang mendorong aku untuk melahirkan kitab Al-Jami’ As-Sahih.”

Pengumpulan Hadis-hadis Sahih


Dalam usaha menghimpun hadis-hadis untuk kitab tersebut, Imam Bukhari amat teliti dan berusaha dengan bersungguh-sungguh menyelidik keadaan para perawi-perawi hadis untuk memastikan kesahihan sesuatu hadis. Imam Bukhari akan terlebih dahulu membandingkan hadis-hadis yang diperolehinya, kemudian memilih mana yang paling sahih mengikut penyelidikannya. Hal ini tercermin dari perkataannya: “Aku susun kitab Al Jami’ ini daripada 600,000 hadis selama 16 tahun.”

Imam Bukhari menghabiskan waktu selama 16 tahun menjelajah dan mengunjungi beberapa kota besar seperti  Bashrah, Mesir, Hijaz (Mekah, Madinah), Kufah, Baghdad hingga sampai ke Asia Barat bagi menyiasat latar-belakang perawi-perawi hadis. Di Baghdad, Imam Bukhari sering bertemu dan berdiskusi dengan ulama besar Imam Ahmad bin Hanbal. Dikatakan Imam Bukhari telah bertemu tidak kurang dari 80,000 perawi dan mengumpulkan satu juta hadis.

Namun tidak semua hadis-hadis tersebut dimasukkan ke dalam kitab Al Jami' melainkan terlebih dahulu dipastikan kesahihan dan tsiqqah (kuat) sanadnya. Menurut Ibnu Hajar Al Asqalani, akhirnya Bukhari hanya memasukkan 9082 hadis ke dalam kitab Al Jami’ as-Sahih yang dikenal sebagai Shahih Bukhari.

Menurut Al-Firbari, salah seorang anak Imam Bukhari, ia mendengar Imam Bukhari berkata: “Saya susun kitab Al-Jami’ as-Sahih ini di Masjidil Haram, Mekah dan saya tidak mencantumkan sebuah hadis pun kecuali sesudah salat istikharah dua rakaat memohon petunjuk daripada Allah SWT, dan sesudah meyakini bahawa hadis itu benar-benar sahih”. 

Banyak para ahli hadis lain berguru dengan Imam Bukhari, antaranya ialah Syeikh Abu Zahrah, Abu Hatim Tirmidzi, Muhammad Ibn Nasr dan Imam Muslim bin Al Hajjaj (pengarang kitab Sahih Muslim). Imam Muslim menceritakan : “Ketika Muhammad bin Ismail (Imam Bukhari) datang ke Naisabur, aku tidak pernah melihat ketua-ketua daerah, para-para ulama dan penduduk Naisabur memberikan sambutan sebegitu hebat dan penuh penghargaan sebagaimana yang mereka berikan kepada Imam Bukhari.” Muhammad bin Yahya Az Zihli (salah seorang guru Imam Bukhari) berkata: “Barang siapa hendak menyambut kedatangan Muhammad bin Ismail esok pagi, lakukanlah, sebab aku sendiri akan ikut menyambutnya.”

Kewafatan Imam Bukhari


Makam Imam Bukhari di Utara Samarkand
Pernah penduduk Samarkand mengirim surat kepada Imam Bukhari memintanya menetap di negeri itu (Samarkand). Beliau pun pergi memenuhi permohonan mereka. Ketika perjalanannya sampai di Khartand, sebuah desa kecil terletak sekitar 10km sebelum sampai ke Samarkand, beliau singgah terlebih dahulu untuk mengunjungi beberapa ahli keluarganya. Ketika berada di Khartand ini, beliau jatuh sakit selama beberapa hari dan akhirnya meninggal dunia di situ. Imam Bukhari meninggal dunia pada 31 Ogos 870M (256H) pada malam Eidul Fitri ketika berusia 62 tahun. 


No comments:

Post a Comment